IPOH, 1 Januari – Kerajaan Negeri Perak memberi jaminan bahawa aspek keselamatan pelancong di kawasan geopark dan tapak ekopelancongan sentiasa menjadi keutamaan, khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata pihaknya mengmbil sikap berhati-hati dalam pembangunan kawasan geopark yang bersifat sensitif bagi memastikan keselamatan pengunjung terjamin, selain memelihara kelestarian alam sekitar.
Ujar beliau, kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk menutup sementara kawasan yang dikenal pasti berisiko bagi memberi laluan kepada kerja-kerja naik taraf dan penambahbaikan.
"Berdasarkan kajian pakar, sekiranya terdapat kecenderungan atau risiko berlakunya kejadian yang tidak diingini, kawasan tersebut akan ditutup sementara bagi tujuan kerja-kerja naik taraf.
"Langkah ini penting bagi memastikan keselamatan pengunjung terjamin apabila kawasan berkenaan dibuka semula", katanya demikian ketika ditemui pada sidang media Acara Sambutan di Pintu-Pintu Utama dan Hab Pengangkutan Awam sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, di sini.
Dalam perkembangan sama, Sze yee memaklumkan Perak kini berada dalam keadaan bersedia sepenuhnya untuk menerima peningkatan kehadiran pelancong, disokong oleh kekuatan produk pelancongan sedia ada termasuk keindahan alam semula jadi, tapak warisan dunia UNESCO, kepelbagaian budaya dan festival, serta keunikan gastronomi tempatan.
Sempena TMM 2026, negeri Perak menyasarkan kehadiran seramai 10.5 juta pelancong domestik dan 1.2 juta pelancong antarabangsa ke negeri berkenaan.
