JOHOR, 1 Januari - Kerajaan Johor menerima komitmen pelaburan RM900 juta daripada syarikat pembuatan aloi terkemuka dari China, yang dijangka membuka lebih 200 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan dan teknologi moden.
Menerusi perkongsian di Facebook, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pelaburan disokong kerjasama strategik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), melibatkan pembangunan bakat, serta tawaran sekurang-kurangnya 50 peluang pekerjaan graduan.
"Lawatan delegasi Kerajaan Johor ke fasiliti syarikat tersebut di Shanghai pada Disember lalu, turut membincangkan pembentukan kluster rantaian bekalan industri, bersama rakan ekosistem strategik.
"Pendekatan itu dijangka mewujudkan limpahan ekonomi lebih luas, kepada syarikat tempatan, Perusahaan Kecil dan Sederhana, serta penyedia perkhidmatan di Johor," katanya.
