KUALA LUMPUR, 1 Januari – KL Sentral terus diperkukuh sebagai hab pengangkutan utama pelancong sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
- KL Sentral diperkukuh sebagai hab pengangkutan utama untuk kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
- KTMB tambah empat perkhidmatan ETS harian setiap hala antara KL Sentral dan Johor Bahru.
- KL Sentral kini mengendalikan 42 perkhidmatan ETS sehari sebagai pintu masuk strategik pelancong.
- Tren pertama dari Johor Bahru pada 2026 menerima sambutan menggalakkan, termasuk pelancong dari Singapura.
- Sambutan pelancaran TMM2026 diadakan serentak di 55 pintu masuk dan lokasi terpilih seluruh negara.
Ia dengan penambahan kekerapan perkhidmatan tren elektrik (ETS) antara KL Sentral dan Johor Bahru oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Ketua Pegawai Operasi KTMB, Afzar Zakariya berkata mulai tahun ini sebanyak empat perkhidmatan ETS disediakan setiap hari bagi setiap hala antara KL Sentral dan Johor Bahru, sekali gus meningkatkan rangkaian perjalanan pelancong dari selatan tanah air ke bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Butterworth dan Padang Besar.
Menurutnya, KL Sentral kini mengendalikan sebanyak 42 perkhidmatan ETS sehari dan berperanan sebagai pintu masuk strategik kepada pelancong domestik serta antarabangsa yang memilih pengangkutan rel untuk menjelajah pelbagai destinasi di dalam negara.
“Tren pertama dari Johor Bahru pada hari pertama tahun 2026 mencatatkan sambutan menggalakkan dan dipenuhi penumpang termasuk pelancong dari Singapura,” katanya ketika ditemui pada acara Sambutan Pintu Masuk Hub Pengangkutan Utama Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 di KL Sentral, di sini hari ini.
Sementara itu Pengarah Bahagian Sumber Manusia Tourism Malaysia, Muhamad Nasir Pahmi berkata sambutan pelancaran TMM2026 turut diadakan secara serentak di 55 pintu masuk utama dan lokasi terpilih di kesemua 13 negeri, melibatkan lapangan terbang, pelabuhan serta hab pengangkutan darat utama negara.
Kerjasama erat bersama sektor pengangkutan termasuk KTMB penting bagi memastikan pergerakan pelancong lebih lancar, di samping memperkenalkan pakej pelancongan yang lebih kreatif serta inisiatif sokongan kepada penggiat industri tempatan sepanjang TMM2026.