fb fb fb fb fb

MCMC sekat akses laman web caghi.com sejak 2022

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil / Foto Bernama

PUTRAJAYA, 10 September – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menyekat akses kepada laman sesawang caghi.com sejak Jun 2022 susulan kebimbangan berhubung keselamatan data peribadi.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata tindakan itu diambil lebih awal sebelum dakwaan kebocoran data peribadi yang tular baru-baru ini, selain kerjasama turut dijalankan dengan penyedia perkhidmatan untuk mengenal pasti individu di sebalik laman berkenaan.

“Ya, saya telah buat semakan dengan pihak MCMC. Mereka memaklumkan bahawa laman web itu telah disekat sejak tahun 2022 dan kita tidak ada pengesahan mengenai status data yang dipegang oleh laman web tersebut.

“Tetapi pihak MCMC telah berhubung dengan penyedia perkhidmatan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai individu di sebalik laman itu. Untuk maklumat lebih terperinci, boleh dirujuk terus kepada pihak MCMC. Namun saya boleh sahkan bahawa laman web tersebut telah disekat sejak Jun 2022,” katanya pada sidang media mingguan di Kementerian Komunikasi, di sini, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial satu hantaran seorang pengguna Facebook yang mendakwa laman sesawang berkenaan mendedahkan data peribadi seperti nombor kad pengenalan, alamat rumah, nombor telefon, lesen kenderaan, maklumat bank termasuk nombor pengesahan (CVV) kad debit dan kredit serta butiran perniagaan.

Sementara itu, mengulas isu tular berhubung kemasukan seorang pelajar cemerlang ke universiti awam, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI menjelaskan, keputusan dasar sedia ada memberi keutamaan kepada pelajar program matrikulasi untuk penempatan di universiti awam.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN