fb fb fb fb fb

Zikir pelik di kubur: Polis serah siasatan kepada JAWI

Tangkap layar video tular di media sosial berhubung dakwaan zikir pelik di sebuah pusara di tanah perkuburan di ibu negara

KUALA LUMPUR, 29 Disember- Polis mengesahkan telah menerima laporan berhubung satu insiden melibatkan sekumpulan individu yang berzikir dalam keadaan pelik di sebuah tanah perkuburan di Setapak di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohamad Lazim Ismail berkata laporan berkenaan diterima daripada orang awam yang merujuk kepada sebuah video tular.

"Laporan oleh orang awam pula diterima pada 4.23 petang semalam dan kes ini dirujuk ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk siasatan selanjutnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Perbuatan itu dipercayai berlaku pada Sabtu kira-kira 10.05 pagi sebelum video mengenainya tular pada petang hari yang sama.

Semalam, tular satu video berdurasi 23 saat memaparkan sekumpulan individu berzikir secara pelik dan kuat di sebuah tanah perkuburan di Danau Kota, Setapak hingga mengundang kebimbangan masyarakat khususnya orang Islam.

SITI AISHAH MD ISA