KUALA TERENGGANU, 29 Disember - Beberapa kawasan di daerah Kemaman, dijangka kembali banjir susulan amaran hujan berterusan peringkat buruk yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) Malaysia tengahari tadi.
Menurut kenyataan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran, lokasi yang dijangka terjejas ialah kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer sekitar Sungai Tebak di Jambatan Tebak.
Kawasan yang dijangka terjejas meliputi Kampung Teladas, Kampung Air Putih, Kampung Dadong, Kampung Batu 16 Tebak, serta Jambatan Air Putih.
Banjir diramalkan berlaku bermula hari ini hingga tengah malam Selasa depan, namun pihak PRABN menyatakan banjir boleh berlaku lebih awal atau lewat dari waktu yang dijangkakan.
Dalam perkembangan berkaitan, stesen cerapan Kemaman melaporkan paras air laut dijangka meningkat antara 3.2 hingga 3.5 meter bermula 1 hingga 6 Januari depan.
Bacaan di stesen cerapan Kuala Terengganu pula menunjukkan paras air laut mencecah antara 2.5 hingga 2.7 meter, khususnya sekitar pukul 10.30 malam hingga 1 pagi.