fb fb fb fb fb

JAWI diarah siasat video tular zikir di kubur - Mohd Na’im

Mohd Na’im Mokhtar (kiri) mengarahkan JAWI jalankan siasatan berhubung isu zikir pelik di sebuah pusara di tanah perkuburan di ibu negara (kanan)

KUALA LUMPUR, 29 Disember- Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengambil maklum mengenai video tular di media sosial yang memaparkan sekumpulan individu berhimpun di sebuah pusara dalam kawasan Tanah Perkuburan Islam, Taman Ibukota, Setapak di sini semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata pihaknya telah mengarahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian tersebut.

"Pihak yang mempunyai maklumat adalah dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat berkaitan kepada JAWI bagi membantu siasatan. Semua pihak dinasihatkan agar tidak membuat apa-apa spekulasi mengenai kejadian tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Na’im turut menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana perlakuan dan amalan yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam.

"Semua pihak dimohon menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa agama Islam untuk tindakan lanjut," tambahnya.

Semalam, tular satu video berdurasi 23 saat memaparkan sekumpulan individu berzikir secara pelik dan kuat di satu tanah perkuburan di Danau Kota, Setapak hingga mengundang kebimbangan masyarakat khususnya orang Islam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohamad Lazim Ismail mengesahkan pihaknya telah menerima satu laporan berhubung kejadian itu yang dipercayai berlaku kira-kira 10.05 pagi semalam sebelum video mengenainya tular pada petang hari sama.

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA