fb fb fb fb fb

Ziarah Kasih MADANI, Wan Azizah dekati golongan memerlukan

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama penerima sumbangan.

KUALA LUMPUR, 1 Mei - Program Ziarah Kasih MADANI Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi platform penting pemimpin bertemu masyarakat selain usaha mendekati golongan memerlukan.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu berkata, individu yang dilawati beliau hari ini bukan sekadar untuk memberi sokongan moral malah turut tertumpu kepada penyelesaian masalah.

"Kita memberikan mereka sumbangan terutama daripada MAIWP yang telah memberikan bantuan bulanan termasuk bantuan kesihatan dan perubatan".

Dua individu yang dilawati beliau ialah Zin Abu Kasim yang menghidap masalah kesihatan paru-paru berair dan Abdul Aziz Abu Bakar yang mengalami kemalangan mengakibatkan patah tulang bahu.

Zin Abu Kasim menerima sumbangan wang tunai oleh Pejabat Ahli Parlimen dan sumbangan bulanan dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) selain barangan asas.

Abdul Aziz Abu Bakar juga menerima sumbangan sama selain Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) akan berusaha memberikan sumbangan bulanan.

"Kita sama-sama buat yang terbaik untuk meringankan beban yang dihadapi kerana kita tidak tahu musibah yang melanda mereka. Jadi apabila berlaku, sama-sama kita bantu," kata Datuk Seri Dr Wan Azizah.

Beliau bercakap kepada media selepas mengakhiri Ziarah Kasih di Cheras, hari ini.

Turut serta dalam Ziarah Kasih berkenaan ialah Setiausaha Politik Kepada Perdana Menteri, Datuk Razman Abidin, Penyelaras Skuad Jejak Asnaf MAIWP, Muhammad Ishak Zulkifly serta Pegawai JKM Daerah Cheras dan Bandar Tun Razak, Mohd Shahrulnizam.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE