LANGKAWI, 1 Mei — Markas Wilayah Laut 3 (MAWILLA 3) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah bersiap siaga bagi menyambut Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) yang bakal berlangsung hujung bulan ini.
Bertempat di Resort World Langkawi, MAWILLA 3 akan memberi sokongan penuh dalam Segmen Maritim, khususnya dari aspek logistik dan pengoperasian.
Timbalan Panglima Wilayah Laut 3, Kepten Yusman Darmawan TLDM memaklumkan, persiapan yang dimulakan sejak awal tahun kini telah mencapai tahap 70 peratus.
“Seramai kira-kira 250 anggota dari MAWILLA 3 akan ditugaskan sepanjang acara berlangsung, merangkumi operasi, pameran serta tugasan penyelenggaraan. Semua anggota akan terlibat secara langsung sepanjang tempoh LIMA berlangsung,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Hari Terbuka Armada bersempena sambutan Ulang Tahun TLDM ke-91 di Langkawi, hari ini.
Acara dua hari itu dijangka menarik lebih 2,000 pengunjung, dengan pelbagai aktiviti menarik disediakan antaranya demonstrasi penyelamatan di laut, boat ride, serta pameran aset-aset maritim.
Turut menjadi tumpuan ialah pembukaan dua kapal TLDM iaitu KD Sri Indera Sakti dan KD Laksamana Hang Nadim untuk lawatan awam.