KUALA TERENGGANU, 16 November - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, JBPM Terengganu sentiasa memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) setiap tahun.
Selain operasi menyelamat penduduk terjejas banjir, tumpuan pasukan bomba turut terarah kepada aspek keselamatan lain yang sering diabaikan masyarakat ketika musim tengkujuh.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Penyiasatan Kebakaran JBPM Negeri Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II, Mohd Aswadi Sulong, antara cabaran utama yang diberi perhatian, ialah insiden kebakaran kenderaan yang dilaporkan meningkat setiap kali musim hujan.
Kebanyakan kes berpunca daripada kerosakan sistem pendawaian kenderaan selepas meredah air banjir.
"Pada tahun 2024, jumlah keseluruhan kes kebakaran kenderaan ialah 122. Manakala bagi tahun ini setakat bulan Oktober, statistik menunjukkan sebanyak 95 kes direkodkan. Kebiasaannya, insiden kebakaran kenderaan meningkat pada musim Monsun Timur Laut," katanya.
Orang ramai disaran memastikan sistem pendawaian dan bateri kenderaan sentiasa berada dalam keadaan baik serta dipasang kemas bagi mengelakkan risiko kebakaran.
JBPM turut menasihatkan setiap pemilik kenderaan agar menyediakan alat pemadam api mudah alih sebagai langkah awal keselamatan sekiranya berlaku kecemasan.