fb fb fb fb fb

Sektor korporat diseru pergiat kerjasama perkukuh pemerkasaan komuniti

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 16 November - Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru supaya lebih banyak sektor korporat tampil bersama-sama membantu memperkukuh pembangunan komuniti setempat, khususnya di kawasan bandar.

Mengambil contoh Program YSD SEPAKAT yang dilaksana bersama Yayasan Sime Darby di Bandar Tun Razak, beliau berkata, program itu membuktikan bahawa kerjasama strategik antara kerajaan dan sektor swasta mampu membawa perubahan besar serta berimpak tinggi kepada masyarakat.

"Program ini bukan sahaja melibatkan bantuan kewangan, tetapi turut memperkukuh keupayaan penduduk melalui latihan digital, bengkel kepimpinan serta program bimbingan oleh pakar industri.

"Justeru, saya berharap manfaat ini dapat diperluas kepada semua penduduk, supaya kita dapat saling membantu dan sama-sama berdaya saing, sekali gus menjadikan masyarakat bandar seperti di Program Perumahan Rakyat sebagai sebuah hab komuniti yang positif,” katanya ketika berucap pada Program YSD SEPAKAT dan Hari Bersama Komuniti di ibu negara.

Dalam pada itu, beliau turut menyempurnakan Majlis Sumbangan Bantuan Ribut melibatkan 46 penerima dari Kampung Malaysia Tambahan dan Kampung Malaysia Raya, dengan jumlah keseluruhan bantuan bernilai RM18,500.

Menurutnya, penganjuran program tersebut bukan sahaja bertujuan menyalurkan bantuan segera kepada mangsa ribut, tetapi turut mencerminkan keprihatinan kepimpinan dan masyarakat setempat terhadap kesejahteraan penduduk.

Majlis berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk Sub Zon 6, Persatuan Penduduk serta disokong pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan agensi tempatan.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN