KUALA LUMPUR, 16 November - Program Zakat X Wakaf Run 2025 anjuran Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) bersama Koperasi PPZ Berhad (KoPPZ), mendapat sambutan hangat lebih 2,000 peserta melibatkan beberapa kategori di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), bersempena program Kuala Lumpur Car-Free Morning (KLCFM).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, penganjuran ini bertepatan dengan sambutan 21 tahun penubuhan JAWHAR, sekali gus memperkukuh peranan agensi tersebut sebagai institusi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang komited memperkasa ekonomi umat Islam melalui agenda wakaf, zakat dan haji.

Foto Media YBTMA
"Sambil mengajak orang ramai beriadah bagi menjaga kesihatan, kita juga ingin menonjolkan peranan JAWHAR dan PPZ dalam masyarakat yang bukan sahaja dapat membantu golongan asnaf menerusi wakaf, zakat, haji dan sebagainya. Malah, mengetengahkan jenama JAWHAR dan PPZ," katanya.
Beliau juga memaklumkan, program larian ini turut menjadi platform untuk meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai kepentingan zakat serta potensi wakaf sebagai instrumen pembangunan sosioekonomi.
Pada masa sama, ia menyediakan ruang interaksi sihat dan inklusif antara institusi agama, agensi kerajaan, pihak korporat dan masyarakat umum, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI.
Penglibatan rakan strategik seperti Pusat Pungutan Zakat-MAIWP juga mengukuhkan jaringan kerjasama antara kerajaan dan sektor korporat dalam usaha membudayakan amalan kebajikan serta gaya hidup sihat.