KOTA KINABALU, 16 November- Kesalinghubungan internet di Sabah dan Sarawak akan terus diperkasa, dengan memfokuskan fasiliti pejabat kerajaan serta seluruh universiti awam dan swasta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha tersebut dilaksana menerusi peruntukan RM2 bilion oleh kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
"Tahun ini, MCMC telah menyalurkan RM2 bilion untuk tujuan ketersambungan di seluruh negeri (Sabah dan Sarawak). Saya faham cabaran yang wujud, terutamanya isu kos yang tinggi, namun MCMC telah ditetapkan untuk melaksanakan liputan penuh bagi Sabah dan sebahagian daripada Sarawak menggunakan peruntukan RM2 bilion ini."
"Untuk tujuan ini, saya juga telah mengumumkannya dalam pembentangan Belanjawan 2026, dengan memberikan keutamaan kepada kolej, pejabat kerajaan dan universiti. Justeru, isu ketersambungan di semua universiti awam dan swasta akan dapat diselesaikan," kata Datuk Seri Anwar, hari ini.
Beliau bercakap dalam Majlis Minum Pagi dan Sembang Santai Bersama Media, di sini.
Sementara itu, beliau turut mengulas lanjut berhubung perwakilan parlimen bagi Sabah dan Sarawak.
Jelas Datuk Seri Anwar, perkara itu sedang diselesaikan oleh Peguam Negeri dan Peguam Negara.
"Keputusan ini telah saya maklumkan kepada Jemaah Menteri dan juga Jawatankuasa Tertinggi MTC3. Kita akan menambah (kerusi perwakilan). Adakah penambahan ini akan mencapai satu pertiga? Tidak, tiada komitmen untuk mencapai satu pertiga, namun terdapat komitmen untuk peningkatan."
"Oleh sebab itu, saya telah meminta Peguam Negeri Sabah, Peguam Negeri Sarawak dan Peguam Negara untuk menyelesaikan isu ini terlebih dahulu," jelasnya.