KUALA LUMPUR, 16 November - 10 pasukan terbaik bakal bersaing bagi merebut gelaran juara program 'Junior Innovathon 2025' yang akan bersiaran menerusi saluran TV1 pada pukul 9 malam ini.
Penolong Pengarah Unit Majalah dan Dokumentari (UMD) RTM, Sariman Abdullah, menjelaskan bahawa penilaian pada episod akhir akan memberi tumpuan kepada peningkatan dan penambahbaikan yang telah dilakukan terhadap inovasi peserta sejak peringkat awal program.
Tambah beliau, program yang bermula sejak September lalu itu merupakan inisiatif bersama empat Kementerian, iaitu Kementerian Komunikasi, Kementerian Ekonomi, Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi memupuk generasi muda berdaya cipta dan berinovasi berasaskan teknologi.
"Pada peringkat akhir malam ini akan ada penambahbaikan. Jadi kita boleh lihat peningkatan yang mereka lakukan terhadap inovasi-inovasi ataupun idea-idea yang telah mereka tampilkan sejak peringkat awal dan ia akan nampak lebih menarik serta berdaya saing.
"Program ini juga memberi pengalaman baharu dan besar kepada pasukan penerbitan UMD, dan kita juga mendapat bantuan rakan-rakan daripada unit lain. Sekiranya diberi peluang, kemungkinan penganjuran Junior Innovathon akan diteruskan pada masa akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia, di sini hari ini.
Program julung kali terbitan Razliza Razak itu turut menyaksikan lebih 40 orang kru penerbitan terlibat sepanjang penganjurannya, dengan menampilkan pelbagai idea inovasi dan kreativiti pelajar sekolah rendah dan menengah dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).
Selain mencungkil bakat, program Junior Innovathon 2025 juga berperanan sebagai platform penting dalam mengarusperdanakan budaya inovasi dalam kalangan generasi muda, sekali gus merangsang pemikiran kreatif serta penyelesaian berasaskan inovasi sepanjang keseluruhan proses pembelajaran dalam program tersebut.
Sebanyak 10 pasukan daripada 50 pasukan murid sekolah rendah dan menengah dari seluruh negara telah terpilih sebagai peserta akhir, terdiri daripada Sekolah Kebangsaan Padang Mengkuang, Terengganu; Sekolah Kebangsaan Seri Indra, Perlis; Sekolah Kebangsaan Methodist, Parit Buntar, Perak; Sekolah Kebangsaan Convent Father Barre, Sungai Petani, Kedah; dan Sekolah Kebangsaan Seri Negeri, Langkawi.
Turut tersenarai, ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Jasmin 2, Selangor; Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 10 Kota Damansara, Selangor; Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Sirajuddin, Perlis; Kolej Vokasional Ampangan, Seremban; dan Kolej Vokasional Pasir Gudang, Selangor.
Hadiah lumayan menanti juara, iaitu wang tunai berjumlah RM40,000 yang akan dikreditkan menerusi akaun SSPN dengan tujuan menggalakkan simpanan tabung pendidikan.