fb fb fb fb fb

Penduduk Desa Makmur dibelenggu bau busuk lebih 20 tahun, desak tapak pelupusan ditutup

Penduduk bantah pencemaran bau di Desa Makmur.

KOTA TINGGI, 1 Mei — Kira-kira 5,000 penduduk di sekitar Desa Makmur di sini terus dibelenggu masalah pencemaran bau yang didakwa berpunca daripada tapak pelupusan sampah berhampiran kawasan perumahan mereka.

Tapak tersebut terletak hanya 300 meter dari kawasan kediaman dan telah menjadi punca gangguan sejak lebih dua dekad lalu.

Difahamkan, hampir 10 kampung terkesan akibat bau busuk yang melampau, selain turut berdepan ancaman kesihatan serta gangguan lalat dan pergerakan lori sampah yang berterusan.

Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Desa Makmur, Jufri Juraini berkata, penduduk sudah lama menanggung kesan pencemaran itu dan mendesak agar tapak pelupusan berkenaan ditutup segera.

“Kita mendesak supaya tapak pelupusan ini dihentikan kerana terlalu banyak aduan dan kesan yang terpaksa kami hadapi bertahun-tahun. Bau yang sangat busuk ini boleh jejaskan kesihatan,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Hassan Sani Ridzuwan yang juga pesara tentera meluahkan rasa kesal apabila masalah bau itu turut memberi kesan kepada keluarganya.

“Saya dengan tiga anak, semua hidung tersumbat. Saya tinggal agak jauh, tapi penduduk yang lebih dekat memang lebih teruk. Bila tetamu datang rumah, semua lari. Masa hari raya, buat open house pun bau sampah sahaja,” katanya.

Susulan aduan yang berlarutan, Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon memaklumkan pihaknya telah mengambil maklum isu berkenaan dan sedia menyemak kejadian yang dilaporkan berlaku di kawasan terbabit.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN