fb fb fb fb fb

Kedah catat lebih 80 peratus pembaca aktif

GAMBAR HIASAN/RTM

LANGKAWI, 16 November – Minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia terus menunjukkan perkembangan positif berdasarkan kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 2022/2023 yang merekodkan sebanyak 88.6 peratus rakyat Malaysia meminati aktiviti membaca bagi meningkatkan ilmu pengetahuan.

Di Kedah, trend tersebut turut seiring dengan pencapaian nasional apabila 88.8 peratus penduduk negeri itu dikenal pasti sebagai pembaca aktif, sekaligus menggambarkan tahap literasi yang memberangsangkan.

Timbalan Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Anisatul-Wahidah Abdul Wahid, berkata kejayaan ini didorong oleh rangkaian Perpustakaan Desa yang aktif melaksanakan pelbagai program literasi di peringkat akar umbi.

Menurutnya, program Sentuhan Komuniti Bestari 2025 menjadi platform utama dalam memperkasakan masyarakat luar bandar melalui pendidikan, perpaduan dan literasi dengan menjadikan perpustakaan desa sebagai pusat aktiviti setempat.

Beliau berkata, kajian profil membaca menunjukkan masyarakat kini membaca 16 bahan fizikal dan lapan bahan digital, mencerminkan keseimbangan antara kedua-dua medium.

“Orang ramai masih membaca bahan fizikal, dan pada masa sama memanfaatkan perkhidmatan digital seperti u-Pustaka yang menyediakan 22 pangkalan data yang boleh diakses secara percuma melalui peranti digital,” katanya.

Anisatul-Wahidah ditemui selepas merasmikan Program Sentuhan Komuniti Bestari 2025 Perpustakaan Desa Negeri Kedah di Kampung Yooi, pada Sabtu.

Turut hadir, Ketua Bahagian Rangkaian Perpustakaan, Murni Masreena Mohd Disa, dan Pegawai Perpaduan Daerah Langkawi, Norshafawati Mohd Ismail.

Program berkenaan turut menampilkan pelbagai aktiviti termasuk sesi Jom Baca Bersama 10 Minit, serta pameran oleh agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD