PUTRAJAYA, 1 MEI - Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) secara kolektif telah melaksanakan dasar gaji kehidupan wajar untuk semua pekerja tetap di Malaysia.
Antara GLIC yang telah memenuhi komitmen ini termasuk Khazanah Nasional, Permodalan Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Lembaga Tabung Haji (TH).
Menerusi satu kenyataan, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, semua pekerja tetap tempatan kini memperoleh gaji melebihi penanda aras gaji kehidupan wajar bulanan.
Ini selaras dengan komitmen di bawah inisiatif GEAR-uP yang diterajui Kementerian Kewangan untuk “menaikkan lantai” dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif.
"Pelaksanaan komitmen gaji kehidupan wajar adalah sebahagian daripada inisiatif GEAR-uP yang diterajui oleh Kementerian Kewangan (“MOF”) di bawah rangka kerja Ekonomi MADANI yang memerlukan usaha bersinergi daripada GLIC sebagai pemangkin pertumbuhan dalam sektor ekonomi utama di Malaysia, dengan dua objektif “menaikkan siling” dan “menaikkan lantai”." katanya.
Pendekatan itu juga dapat memperkasa majikan untuk menawarkan jumlah pampasan melebihi gaji asas, merangkumi pelbagai manfaat yang meningkatkan kualiti hidup, termasuk penjagaan kesihatan, pelan persaraan dan mekanisme simpanan.
Berdasarkan Panduan Belanjawanku 2024/2025, paras gaji kehidupan wajar ditetapkan adalah sekitar RM3,100 sebulan, lebih tinggi daripada kadar gaji minimum semasa RM1,700 yang diumumkan pada Belanjawan 2025 dan dilaksanakan pada 1 Februari 2025.
Dalam kenyataan sama, Presiden & Ketua Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, setakat ini, tiga daripada syarikat strategik PNB telah mengeluarkan Dasar Gaji Kehidupan Wajar, dan disasarkan semua syarikat berbuat demikian menjelang 2026.
Manakala, Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, syarikatnya komited melalui teladan dan telah melaksanakan gaji kehidupan wajar dalam operasi, sementara10 syarikat pegangannya telah pun menyatakan komitmen serupa.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pihaknya sedang memperkukuh misi organisasi untuk membina ekosistem persaraan yang berdaya tahan dan inklusif.
Manakala, Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Nik Amlizan Mohamed berkata, tumpuan KWAP bukan sahaja untuk memberikan pulangan kewangan mampan, tetapi juga menyokong mereka yang membolehkan penciptaan nilai jangka KWAP.