KUALA LUMPUR, 16 November - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka melanda Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sarawak hingga 1.00 tengah hari Ahad, 16 November 2025.
Ia melibatkan daerah Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar di Perak, serta Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang di Kelantan.
Jangkaan cuaca sama turut dikeluarkan di Terengganu melibatkan daerah Dungun dan Kemaman. Manakala di Pahang, daerah yang dijangka terjejas ialah Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Maran, Kuantan dan Pekan.
Di Johor, amaran dikeluarkan bagi daerah Muar, Batu Pahat, Kluang dan Pontian, sementara di Sarawak melibatkan Sri Aman, Betong, Sarikei (Pakan dan Sarikei) dan Mukah (Tanjung Manis).
Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.