fb fb fb fb fb

Forum Kenegaraan: Pemangkin semangat kebersamaan, raikan kepelbagaian budaya

Foto RTM

KANGAR, 16 November - Seramai 250 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mata Ayer tidak melepaskan peluang menyertai Forum Kenegaraan yang mengupas tajuk 'Generasi Muda Tonggak Perpaduan Negara.'

Program Kita Malaysia-Festival Perpaduan Rakyat Mata Ayer anjuran Persatuan Penduduk Kampung Pokok Sena, Mata Ayer itu berlangsung pada 14 dan 15 November di SMK Mata Ayer.

Menurut Presiden Majlis Belia Negeri Perlis, Mohd Jeffry Hassan yang juga panel jemputan, objektif utama forum bertujuan menanam semangat cintakan negara dan kepelbagaian budaya khususnya dalam kalangan belia.

Selain itu, ia juga memberi kesedaran bahawa pelajar juga merupakan ejen perpaduan di sekolah dan komuniti, di samping memberi ruang kepada mereka untuk berkongsi pandangan berhubung isu perpaduan dan kenegaraan serta menghargai kepelbagaian budaya Malaysia.

Pada forum tersebut, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat, Kolej Vokasional Kangar yang juga kaunselor berdaftar, Asmadi Abdan turut diketengahkan sebagai panel bagi berkongsi pandangan.

Antara topik yang dibincangkan termasuklah peranan generasi muda sebagai tonggak perpaduan kaum, tanggungjawab belia sebagai pewaris masa depan negara serta manfaat media sosial dalam usaha mengukuhkan perpaduan.

EZA YUSMAWATI YAACOP