KOTA KINABALU, 25 September - Universiti di negara ini sentiasa berkembang seiring keperluan pasaran semasa dan tidak bersifat kaku dalam merangka program serta kurikulum baharu.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pendekatan itu menolak pandangan segelintir pihak yang mendakwa universiti tidak menyediakan kursus selari dengan keperluan industri dan hala tuju negara.
"Tidaklah ada masalah seperti yang disebutkan..ada kursus-kursus lelong, kursus dah tak laku, kita bagi juga kepada pelajar kita semata-mata untuk memenuhi (keperluan). Yang saya sebutkan ini, perkara ini sentiasa dibuat pada penilaian.
"Jadi, maknanya saya nak sebutkan di sini juga bahawa pihak kementerian tidak seperti yang ada setengah pihak yang mengkritik seolah-olah kita ini mempunyai krisis pendidikan kerana tidak memenuhi keperluan negara," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan majlis penutupan The International Conference on Empowering Leadership 2.0: Empowering the New Era of Leadership with Artificial Intelligence, di sini.
Beliau juga berkata, universiti awam dan swasta bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengambil pendekatan “whole of government” dalam merancang pembangunan tenaga kerja negara.
Antaranya termasuk penilaian semula program setiap tiga hingga lima tahun sama ada perlu diteruskan, diperkemas atau dihentikan.
Sebagai contoh, Universiti Utara Malaysia (UUM) menutup 19 program manakala Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menstruktur semula 39 program yang tidak lagi relevan.
Tambahnya, asas pendidikan tetap dipertahankan kerana ia menjadi teras dalam membentuk modal insan selain menampung permintaan tenaga kerja pelbagai sektor.