fb fb fb fb fb

Perkukuh kedudukan filem tempatan di peringkat antarabangsa

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil ditemui media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi bagi Bulan September 2025, di Putrajaya

PUTRAJAYA, 25 September -Usaha memperkukuh kedudukan filem tempatan di pasaran antarabangsa akan dipergiat.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, ke arah itu perbincangan dengan rakan sejawat dari negara ASEAN akan dibuat untuk membuka peluang lebih luas.

Katanya, ia bagi membolehkan filem Malaysia menembusi pasaran serantau dan perbincangan mengenai perkara itu akan diadakan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, langkah itu selaras dengan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu usaha memperkukuh kedudukan filem tempatan di pasaran antarabangsa.

"Kita mungkin akan mulakan dengan memahami isu-isu yang dihadapi oleh penerbit-penerbit filem dan pengedar. Cabaran yang mereka hadapi di negara-negara ASEAN terutamanya. Dan kita akan susuli selepas itu dengan perbincangan dengan menteri-menteri.

"Antara cara untuk memudahkan dan melicinkan proses penghantaran filem ke luar negara ialah dengan menjalin kerjasama dua hala, khususnya dengan negara-negara ASEAN. Walaupun terdapat aspek ekonomi dan prinsip pasaran bebas yang perlu diambil kira, kita juga boleh mengusahakan agar filem-filem tempatan dapat dipasarkan ke negara luar. Pada sama sama, kita juga harus bersedia untuk menerima filem dari negara-negara tersebut untuk ditayangkan di Malaysia," katanya kepada media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi bagi Bulan September 2025, di sini.

TETITIA YUSOFF