fb fb fb fb fb

KKM cadang buah dan sayur dimasukkan dalam program SARA

Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan supaya buah-buahan dan sayur-sayuran disenaraikan sebagai barangan dalam program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi menggalakkan rakyat mengamalkan pemakanan sihat / Foto Hiasan / Bernama

CYBERJAYA, 25 September – Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan supaya buah-buahan dan sayur-sayuran disenaraikan sebagai barangan dalam program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi menggalakkan rakyat mengamalkan pemakanan sihat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata langkah itu selaras dengan strategi membentuk tabiat sihat dalam kalangan masyarakat, selain memastikan rakyat mendapat akses lebih mudah kepada buah-buahan dan sayur-sayuran pada harga mampu milik.

2509 DR ZUL BUAH SARA 2Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad / Foto Bernama

“Semua ini merupakan strategi galakan… kalau kita tahu, rakyat saya boleh sebutkan fakta-faktanya berapa ramai yang tidak suka makan sayuran, tidak suka buah-buahan mengikut umur dan sebagainya. Tetapi soalannya ialah bagaimana mereka boleh digalakkan untuk akhirnya lebih mahu mengambil buah-buahan dan sayuran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pelan Induk Nasional Sains Tingkah Laku dalam Kesihatan di sini, hari ini.

Pelan induk tersebut merupakan hasil kerjasama KKM dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura.

Ia menekankan kesihatan dan kesejahteraan tidak hanya bergantung kepada rawatan perubatan, tetapi turut memerlukan transformasi melalui perubahan tingkah laku, sistem serta tanggungjawab bersama.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN