KUALA LUMPUR, 25 September - Perpaduan dan tanggungjawab sosial golongan agamawan dalam membangunkan negara berlandaskan konsep Malaysia MADANI terus diperkukuh menerusi Himpunan Agamawan MADANI.
Ia bakal disertai golongan agamawan dan asatizah dari seluruh kawasan utara tanah air pada Himpunan Agamawan MADANI Zon Utara 2025 yang akan diadakan pada 27 September ini di Baling, Kedah.
Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata program tersebut akan memfokuskan kepada tiga elemen utama iaitu perpaduan dalam Islam, adab dalam perbezaan pendapat dan pembangunan negara dalam kerangka Islam.
"Ini tiga topik besar yang kita akan bawa supaya para agamawan para asatizah terutamanya, memahami bahawa ini tanggungjawab mereka dalam kerangka sebuah negara yang sedang bergerak maju ke hadapan, kita perlukan perpaduan dengan rakyat yang mesti dipacu dan diterajui oleh agamawan.
"Yang kedua, kita mahu sampaikan mesej bahawa negara kita ini mesti dibangunkan dan pembangunan sebahagian daripada kewajipan bernegara dan yang patut bawa agenda ini ialah para asatizah juga menerusi kuliah-kuliah mereka untuk mengajar rakyat dan mengajak rakyat bersama dengan membina pembangunan," kata beliau ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, di sini hari ini.
Program tersebut dijangka menghimpunkan antara 300 hingga 400 peserta melibatkan guru agama, ustaz pondok, imam dan penceramah setempat dari beberapa parlimen sekitar Kedah, termasuk Baling, Sik dan Sungai Petani.
Himpunan ini juga menjadi permulaan kepada beberapa siri program zon lain di seluruh negara termasuk negeri Selangor dan Johor , sebelum menuju ke acara kemuncak Kongres Ulama dan Ilmuwan Kebangsaan yang akan diadakan di Terengganu.
Tambahnya, himpunan ini dilihat sebagai satu usaha penting mengangkat suara agamawan ke barisan hadapan dalam mencorak hala tuju Malaysia MADANI.
Ia juga melibatkan kerjasama strategik bersama Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Akademi Kenegaraan Malaysia dan Pertubuhan Nadwah Ulama Malaysia.