fb fb fb fb fb

'ASEAN Conference on Future-Ready Public Service', perkukuh daya saing perkhidmatan awam

Pengarah Bahagian Penyelidikan, Perancangan dan Dasar JPA, Datuk Dr Nor Mazny Abdul Majid

KUALA LUMPUR , 25 September - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan menganjurkan Persidangan Perkhidmatan Awam Siaga Masa Hadapan atau 'ASEAN Conference on Future-Ready Public Service' pada 7 dan 8 Oktober ini, bersempena Kepengerusian ASEAN 2025.

Ia antara insiatif bagi memperkukuh daya saing dan kesiapsiagaan perkhidmatan awam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.

Menurut Pengarah Bahagian Penyelidikan, Perancangan dan Dasar Jabatan Perkhidmatan Awam, Datuk Dr Nor Mazny Abdul Majid, persidangan tersebut akan menghimpunkan Ketua-ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dari seluruh rantau ASEAN bagi berkongsi amalan terbaik dan pengalaman baharu dalam tadbir urus awam.

"Persidangan ini akan memberi tumpuan kepada transformasi digital dan juga AI ataupun teknologi termaju. Ini merupakan antara faktor-faktor yang menjadi pemacu utama kepada transformasi usaha-usaha transformasi yang diadakan oleh perkhidmatan awam.

"Kita perlu memahami dan juga menyediakan negara kita dari pelbagai sudutnya dari segi segi infrastruktur, dasar, peraturan perundangan dan sebagainya dan juga pembangunan modal insan yang untuk kita bersedia untuk mengaplikasikan digitalisasi supaya kita berjaya dalam pembaharuan perkhidmatan awam yang kita usahakan ini.

"Salah satu yang penting hasil daripada persidangan ini kelak adalah Deklarasi Future Ready Public Service dan kita berharap agar deklarasi ini akan menjadi satu dokumen penting yang akan menjadi garis panduan ataupun menetapkan fokus kita untuk masa yang akan datang dalam kita bekerjasama di rantau ASEAN ini", katanya.

Antara tujuh fokus yang akan ditekankan dalam deklarasi tersebut ialah daya tahan institusi dan inovasi, profesionalisme dan kecekapan, tranformasi digital, tadbir urus yang inklusif, kerjasama serantau dan perkongsian ilmu, nilai intergriti, etika dan akauntabiliti serta memperkukuhkan identiti ASEAN melalui perkhidmatan awam.

Persidangan dianjurkan menerusi platform 'ASEAN Cooperation on Civil Service Matters (ACCSM)' memainkan peranan penting bagi pertukaran maklumat, inovasi, serta pembentukan strategi bersama yang mampu meningkatkan kecekapan dan kualiti pengurusan sektor awam di peringkat negara-negara ASEAN.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu dalam Program Selamat Pagi Malaysia di Angakasapuri, Kota Media.

ROSLINA BINTI DIN