KUALA LUMPUR, 25 September – Pemimpin 15 negara anggota Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) mengesahkan kehadiran ke Sidang Kemuncak RCEP yang dijadual berlangsung Oktober ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, persetujuan itu dicapai dalam Mesyuarat Menteri-Menteri RCEP ke-4 yang diadakan hari ini.
“Kita bersetuju supaya perbincangan diadakan dan seterusnya mengeluarkan kenyataan bersama. Penekanan juga akan diberikan kepada isu perdagangan, pelaburan dan ekonomi serantau, selain keterbukaan untuk menjemput atau menerima keahlian baharu dalam RCEP,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat tersebut.
Menurutnya, antara tumpuan utama mesyuarat berkenaan termasuk cadangan untuk menubuhkan sebuah sekretariat khas RCEP bagi memastikan blok perdagangan terbesar dunia itu kekal relevan serta lebih tersusun apabila dibincangkan di peringkat pemimpin.
Mengulas mengenai minat empat negara iaitu Hong Kong, Sri Lanka, Chile dan Bangladesh untuk menyertai RCEP, Tengku Datuk Seri Zafrul berkata, anggota sedia ada menunjukkan sikap yang positif dan terbuka.
“Saya rasa hampir semua negara bersetuju, namun keputusan akhir tetap terletak pada pemimpin RCEP. Saya percaya perkara ini akan dibincangkan dalam sidang kemuncak nanti,” katanya.
Sebelum ini, dalam kenyataan bersama Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) telah mendesak supaya proses penyertaan bagi negara yang berminat dipercepatkan bagi mengukuhkan lagi blok perdagangan serantau itu.