fb fb fb fb fb

Maklumat pelaksanaan BUDI95 akan disalur dengan tepat kepada rakyat - Fahmi

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi bagi bulan September 2025 di Menara Komunikasi hari ini/ Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 25 September - Maklumat mengenai pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) akan disalurkan dengan tepat bagi memastikan informasi difahami oleh rakyat. 

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata ke arah itu Kementerian Komunikasi dan agensi berkaitan menyatakan komitmen memastikan maklumat mengenai inisiatif itu sampai secara terus kepada rakyat.

Ia bagi membolehkan mereka membuat semakan awal dan menikmati manfaat subsidi petrol yang disasarkan kerajaan.

"Kita bekerjasama dengan Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk pastikan sebagai contoh, semua syarikat minyak yang mempunyai stesen minyak telah menyediakan maklumat yang tepat terutama untuk semua pelanggan yang akan mengunjungi stesen minyak mereka bermula pada tarikh-tarikh yang saya sebutkan tadi, supaya sekiranya apa-apa berlaku, mudah untuk mereka uruskan. 

"Kami juga telah atur satu sesi taklimat melibatkan semua komuniti MADANI dan ia diuruskan Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan sesi taklimat terus diberikan oleh pihak Kementerian Kewangan kepada sama ada 'tiktokers', 'influencers', kepada pengusaha laman-laman web berkaitan automotif dan ekonomi.Jadi sesi penerangan itu akan diteruskan," kata beliau ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi bagi bulan September 2025, di sini hari ini.

Fahmi turut memaklumkan masyarakat boleh melayari laman sesawang rasmi untuk membuat semakan kelayakan secara dalam talian dengan hanya memasukkan nombor kad pengenalan. 

Jelasnya, Soalan Lazim (FAQ) turut dimuat naik ke dalam laman berkenaan, termasuk penjelasan isu keselamatan data. 

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN