KUALA LUMPUR, 8 November – Kementerian Komunikasi merakamkan ucapan tahniah kepada Majlis Media Malaysia (MMM) atas kejayaan penganjuran Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pertama yang berlangsung semalam.
Kementerian berkenaan turut menzahirkan penghargaan dan tahniah kepada 12 individu yang dilantik sebagai Ahli Lembaga MMM, yang bakal memainkan peranan penting dalam memacu hala tuju serta memperkukuh fungsi kawal selia kendiri media negara.
"Penubuhan MMM merupakan pencapaian penting dalam usaha reformasi industri media negara, ke arah memperkukuh kredibiliti, etika kewartawanan, serta memelihara profesionalisme dan kebajikan pengamal media.
“Kementerian Komunikasi yakin dengan kepelbagaian kepakaran dan pengalaman barisan Ahli Lembaga MMM yang mewakili pelbagai segmen termasuk syarikat media, wartawan, pertubuhan bukan kerajaan dan orang awam, MMM akan dapat menjalankan tanggungjawabnya secara berkesan,” menurut kenyataan itu lagi.
MMM disaran agar bertindak secara bebas dan berintegriti dalam menetapkan piawaian amalan kewartawanan serta mengendalikan aduan awam berkaitan media dengan penuh ketelusan, selaras dengan prinsip media beretika.
Kementerian terbabit turut menegaskan komitmen untuk menyokong peranan MMM dalam memperkukuh landskap media berwibawa dan meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap institusi media di negara ini.