fb fb fb fb fb

Zahid sahkan Sulaiman letak jawatan

(FOTO RTM)

BENTONG, 30 Mac-Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan sudah menerima surat peletakan jawatan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, Sulaiman sudah menyerahkan surat peletakan jawatan itu pada pertemuan di pejabatnya di Parlimen, semalam.

"Saya ingin mengesahkan bahawa saya telah menenrima surat perletakan jawatan Ketua Menteri Melaka. Saya akan menghadap TYT(Tuan Yang Terutama) Melaka Tun Dr Ali Rustam untuk mempersembahkan nama calon yang bersesuaian bagi menggantikan Ketua Menteri Melaka Yang baharu", katanya pada sidang media di Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Al Falah, Bentong malam tadi.

Bagaimanapun, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid tidak memaklumkan bila beliau akan menghadap Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam mahupun jumlah nama individu yang akan dikemukakan dalam senarai berkenaan.

Sementara itu, Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Koperasi dan Usahawan Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh enggan mengulas lanjut ketika diminta mengulas mengenai pertukaran jawatan Ketua Menteri yang akan dibuat Jumaat ini.

"Saya tidak boleh mengulas spekulasi ini. Kita tunggu pengumuman rasmi. Saya tidak tahu hal ini dan jangan tanya saya", katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh malam tadi.

Sebelum ini, media melaporkan Sulaiman dijangka meletak jawatan esok dengan nama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh kembali disebut bakal dilantik sebagai Ketua Menteri baharu.


(Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi/FOTO RTM)

Media Baharu