fb fb fb fb fb

Zahid mahu KKD ambil tindakan terhadap isu berkaitan Telegram

Foto Hiasan

PUTRAJAYA, 29 Mei- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mengambil tindakan segera terhadap penyedia perkhidmatan Telegram yang enggan bekerjasama mencari penyelesaian berhubung pelbagai aduan yang diterima.

Beliau menegaskan, langkah susulan termasuk bertemu pihak Telegram perlu dilakukan dan disokong semua pengguna aplikasi tersebut.

"Biarpun kita mempunyai perjanjian atau protokol untuk melayani semua saluran media, perkara yang bukan sahaja soal perundangan tapi bahan yang terkandung dan tersebar dalamnya harus dikenakan pencegahan. Jika ada negara atau negeri dibawah tata kelola tertentu telah mengharamkan saluran tertentu umpamanya.

Maka, saya berpendapat jika ia merosakkan masyarakat, hendaklah diambil tindakan segera. Biarpun aplikasi Telegram ini tidak sebanyak aplikasi lain, kesan negatif yang wujud daripada bahan-bahan dipergunakan itu cukup merosakkan.

Apabila pengendali saluran tidak mahu bekerjasama dengan menteri atau pegawai KKD atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), saya rasa langkah susulan mesti dilakukan," kata Zahid kepada pemberita di Putrajaya semasa melancarkan Jerayawara Advokasi Antigangguan Seksual.

Sebelum ini, Menteri KKD, Fahmi Fadzil berkata Telegram masih enggan memberi bekerjasama dengan kerajaan sejak Januari lalu.

Semalam, Telegram memaklumkan enggan bekerjasama dengan KKD kerana aplikasi pemesejan itu tidak mahu mengambil bahagian dalam sebarang bentuk penapisan berkaitan politik.


(Foto FB Menteri)

Sementara itu, identiti sembilan individu dalam Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dipercayai telah disalah guna bagi tujuan penyelewengan melibatkan jumlah RM24.8 juta.

Jelas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perbuatan licik itu berlarutan dalam tempoh lapan tahun.

Beliau menegaskan bahawa tidak akan berkompromi atas kesalahan tersebut.

"Sembilan individu dalam KESEDAR telah diguna identitinya oleh individu tidak bertanggungjawab untuk melakukan penyelewengan KESEDAR selama lapan tahun yang melibatkan jumlah hampir RM25 juta.

Perbuatan ini satu perbuatan licik yang dilakukan oleh penolong akauntan berkenaan, kita akan ambil tindakan tegas dan saya tidak akan berkompromi," jelas Zahid.

Tangkapan telah dilakukan, beliau turut mengarahkan ketua setiausaha kementerian mengambil tindakan perundangan segera.

Media Baharu