fb fb fb fb fb

Sesi dialog bersama penggiat industri kreatif diadakan

KUALA LUMPUR, 29 Mei- Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah menganjurkan sesi dialog awam melibatkan para penggiat industri kreatif di REXKL di sini, malam tadi.

Menterinya, Fahmi Fadzil menerajui sesi dialog itu bersama Pengerusi FINAS, Datuk Kamil Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif, Profesor Dr. Md Nasir Ibrahim.

Sesi dialog tersebut bertujuan memberikan ruang interaktif secara bersemuka antara agensi kerajaan dan pelbagai pemegang taruh iaitu penerbit, pelabur, tenaga produksi, penyedia perkhidmatan, pempamer, persatuan perfileman dan komuniti filem bagi mendapatkan input dan cadangan penambahbaikan berhubung pelbagai perkara yang melibatkan hal ehwal semasa perkembangan industri filem negara.

Usaha mempromosi Malaysia sebagai destinasi penggambaran serta pelaburan antarabangsa kepada para penggiat dan pemegang taruh industri filem negara akan diteruskan melalui galakan Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI).

Tadbir urus dan pengurusan Dana Kandungan Digital (DKD) di bawah seliaan FINAS ditambah baik secara mampan agar penghasilan karya kreatif yang lebih berkualiti dapat ditingkatkan.

Turut hadir dalam sesi dialog itu, Timbalan Menteri KKD, Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha KKD, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah Penyiaran, Suhaimi Sulaiman.


(Usaha mempromosi Malaysia sebagai destinasi penggambaran serta pelaburan
antarabangsa kepada para penggiat dan pemegang taruh industri filem negara
akan diteruskan melalui galakan Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI))

Media Baharu