KUALA LUMPUR, 29 Mei- Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub menegaskan bahawa bekalan gula di pasaran adalah mencukupi.
Jelasnya, rakyat tidak perlu bimbang meskipun pengeluaran gula putih bertapis jernih diteruskan.
Kerajaan telah mengarahkan Malaysia Holdings Bhd (MSM) dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) untuk terus mengeluarkan gula putih bertapis sedia ada pada kuantiti semasa iaitu 42,000 tan metrik sebulan.
"Setakat hari yang keempat kita lancarkan, tidak ada sebarang aduan tentang kekurangan gula. Namun begitu, saya telahpun mengarahkan penguat kuasa untuk melanjutkan Ops Manis itu selama sebulan.
Selain itu, kita juga menyatakan bahawa dua syarikat itu boleh mengeluarkan gula putih bertapis jernih, dijual dengan harga pasaran yang tidak menjejaskan bekalan dan harga gula yang bertapis halus dan kasar itu," kata Salahuddin kepada pemberita di ibu negara.
(Foto Hiasan)
Beliau memaklumkan harga gula bertapis kasar kekal RM2.85 sen sekilogram dan harga gula bertapis halus tetap pada RM2.95 sen.
Sebelum ini, keRajaan telah membenarkan dua syarikat pengeluar gula tempatan, MSM dan CSR untuk mengeluarkan gula putih bertapis jernih bagi menangani masalah kekurangan bekalan gula.