KUALA LUMPUR, 29 Mei- Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) terus komited tangani projek sakit di seluruh negara.
Pemantauan berterusan melalui pasukan Task Force Projek Perumahan Swasta dan Terbengkalai mendapati sebanyak 435 projek sakit dan 112 projek terbengkalai dilaporkan setakat 31 Mac 2023.
Hal ini kerana, menurut Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir majoriti syarikat pembinaan masih dalam fasa pemulihan akibat Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP).
"Jadi, berdasarkan statistik yang kita ada sehingga bulan Mei, yang kita buat laporan tempoh hari adalah 435 projek sakit sementara, yang terbengkalai ada 112 projek,
Usai mesyuarat, gambaran baru yang kami terima. Saya belum umumkan lagi statistik itu, mungkin ada berlaku peningkatan," kata Akmal kepada media di ibu negara.
Dalam masa sama, beliau juga menyarankan pembeli yang terlibat dengan projek berkenaan untuk merujuk Jabatan Perumahan Negara (JPN) bagi tindakan selanjutnya.
"Di peringkat pembeli pula, jika berlaku setelah tandatangan perjanjian jual beli (S&P) tetapi rumah tidak siap mengikut jadualnya maka bila mereka mengambil pinjaman maka akan ada implikasi kewangan. Jadi, untuk peringkat KPKT melalui Jabatan Perumahan Negara (JPN) sememangnya, kita cuba bantu permudahkan untuk mengesahkan projek itu sakit.
Ini kerana bila ada pengesahan projek itu sakit, kita akan keluarkan surat, surat ini yang dibawa kepada pihak bank untuk diadakan rundingan antara peminjam dengan pihak bank," tambahnya.
(Foto FB Menteri)
Terdahulu, beliau mengadakan lawatan ke tapak Projek Residensi Hektar di Gombak yang terdiri daripada lima blok bangunan meliputi 2,400 unit rumah yang sepatutnya siap pada 18 Mac 2023 namun dianggarkan 80% siap manakala bagi projek kondominium Mulberi yang bermula pembinaanya bermula pada tahun 2013 dan sepatutnya siap pada tahun 2016 masih belum memperolehi Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).