(Mohamad Sabu mengadakan tinjauan pam air di Kampung Kubang Telaga, Kelantan)
BACHOK, 29 Mei- Kementerian Pertanian dan Kerterjaminan Makanan (KPKM) mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM300,000 untuk membina telaga tiub dan membekalkan pam kepada pesawah di Kelantan.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata peruntukan itu diluluskan kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) bagi membantu pesawah yang menghadapi masalah pada musim kemarau.
"Sekiranya pam tersebut tidak mencukupi, KPKM akan mempertimbangkan untuk menambah lagi pam seperti yang telah dibekalkan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan pam air di Kampung Kubang Telaga, di sini.
Mohamad berkata, sehingga kini, KADA menyediakan tiga pam khas iaitu di kawasan bendang Aur Duri (Kota Bharu Utara), Kampung Keling (Kota Bharu Selatan) dan Sungai Kemasin (Bachok) bagi membantu mengairi sawah petani.
"Usaha untuk menyediakan pam air terutama di musim kemarau ini dipergiatkan supaya petani dapat memulakan (tanaman padi) pada awal Jun untuk pembajakan semula," katanya
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, cuaca panas dan kemarau menyebabkan kawasan seliaan KADA berdepan masalah bekalan air selepas Rumah Pam Kemubu tidak dapat mengairi beberapa kawasan tanaman padi di Kota Bharu Selatan, Kota Bharu Utara, Pasir Puteh dan Bachok.
KADA juga telah mengagihkan hampir 500 pam mudah alih kepada petani di seluruh kawasan KADA yang bimbang padi mereka akan musnah akibat kemarau.
(Mohamad Sabu)