fb fb fb fb fb

Yuran pengajian pelajar Palestin di IPTA awam dikecualikan selama setahun

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

SEPANG, 15 November- Yuran pengajian bagi lebih 600 pelajar Palestin yang sedang menuntut di universiti awam di Malaysia, dikecualikan bagi tempoh setahun berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) juga akan mengadakan perbincangan dengan pihak universiti swasta bagi memberi pengeculian yuran kepada lebih 200 pelajar Palestin yang sedang melanjutkan pengajian di institusi mereka bagi tempoh setahun.

Menurutnya, terdapat lebih 800 pelajar Palestin yang sedang menuntut di Malaysia dengan lebih 200 pelajar adalah di universiti swasta dan selebihnya sedang menuntut di pelbagai peringkat pengajian di universiti awam.

“Sudah tentu mereka antara yang terkesan secara langsung daripada apa yang berlaku di negara tersebut, maka kita sedar keadaan pembelajaran mungkin terputus dan mereka mungkin tidak lagi dapat sokongan pembiayaan daripada keluarga atau penaja,"

Dalam perkembangan berlaini, KPT akan terus fokus untuk memajukan dan memelihara kesaksamaan dalam sektor pendidikan tinggi, terutama pada era pasca pandemik COVID-19.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin percaya melalui pelbagai perspektif perbincangan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dapat membangunkan pendekatan baharu pengajaran dan pembelajaran sekali gus menyumbang kepada sistem pendidikan yang lebih berkesan dan saksama.

"Ini yang kita sedang bincang dan lihat sebab itulah saya antara lain telah memberi penekanan bahawa salah satu daripada perkara yang mesti dilihat ialah soal pendigitalan pendidikan tinggi,"katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Forum Pendidikan Tinggi Global 2023 di Sepang.

Forum tiga hari itu melibatkan hampir satu ribu perwakilan daripada 17 negara akan memberi tumpuan kepada isu jurang digital, pekerjaan dan pembangunan bakat, serta kemajuan dasar sosio-ekonomi dan pendidikan tinggi.

Datuk Seri Mohamed Khaled turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian memorandum persefahaman (MOU) Simposium Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta perjanjian mercu tanda "Joint Action Roadmap" antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Pusat Penyelidikan Pembangunan Pendidikan Tinggi (CHDER) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi, Sains dan Inovasi Uzbekistan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE