fb fb fb fb fb

SPRM lapor polis kenyataan palsu ahli parti Bersatu

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 15 November –Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa tindakan sewajarnya diambil dengan kadar segera terhadap pihak yang mengeluar dan menyebarkan fitnah serta tohmahan melalui satu hantaran di media sosial kepada badan penguat kuasa itu.

Hari ini, SPRM telah membuat satu laporan polis berhubung satu hantaran dalam aplikasi TikTok atas nama pemilik akaun @wancin11.

SPRM menerusi kenyataan menyebut dalam hantaran berkenaan, Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Terengganu, Datuk Razali bin Idris telah mengeluarkan beberapa tuduhan palsu dalam ceramah beliau sewaktu majlis pelancaran jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 10 November 2023.

“Beliau telah menyatakan bahawa jentera-jentera kerajaan, SPRM dan hakim-hakim dikawal oleh kerajaan semasa, serta mempertikaikan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi berhubung sabitan empat pertuduhan ke atas bekas Menteri Belia dan Sukan,” tulis kenyataan itu.

SPRM memandang berat fitnah dan tohmahan yang dilemparkan kerana ia boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap sistem penguatkuasaan dan perundangan negara ini.

“SPRM adalah sebuah badan penguat kuasa yang diperkasakan oleh undang-undang untuk melaksanakan fungsi dan peranan membanteras rasuah dengan bebas dan profesional tanpa dikawal oleh mana-mana pihak,” menurut kenyataan yang dikeluarkan petang ini.

MAT YUNUS BIN SABRI