fb fb fb fb fb

STI, peruntukan RM257 juta bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan

Foto Hiasan

PUTRAJAYA, 15 November - Sebanyak RM257 juta diperuntukan bagi projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata sebanyak 116 permohonan telah diluluskan melalui platform digital Sistem Dana Bersepadu (SDB) yang mula diguna pakai pada Julai 2021.

Katanya, permohonan berkenaan diterima daripada syarikat berkaitan STI, institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta institut penyelidikan awam.

"Kita ada banyak produk yang dibawah pembiayaan MOSTI ada yang sudah bersedia untuk dipasarkan ada yang sedang dikomersialkan dan juga sedang dalam menjalinkan hubungan dengan beberapa pihak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan (R&D&C&I), di sini.

Chang yang turut melancarkan SDB pada majlis berkenaan berkata terdapat lima skim pembiayaan yang ditawarkan dalam platform digital itu iaitu Dana Applied Innovation (AIF); Dana Pembangunan Teknologi 1 (TeD1); Dana Pembangunan Teknologi (TeD2); Dana Bridging dan Dana Penyelidikan Strategik Melalui Agensi Pelaksana dan Pemantau (SRF-APP).

Sehingga kini, Chang berkata sebanyak 23,000 pengguna telah berdaftar dalam platform digital itu.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN