fb fb fb fb fb

Maklum balas laporan PAC berhubung Laporan Pengurusan Wabak COVID-19 sedang disiapkan

Menteri Kesihatan, Dr Zaloha Mustafa

PUTRAJAYA, 15 November- Maklum balas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung syor Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berkaitan Laporan Pengurusan Wabak COVID-19 termasuk berkaitan isu ventilator, sedang disiapkan.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa memaklumkan ia dijangka dapat diserahkan kepada PAC selewat-lewatnya pada bulan hadapan.

"Pengurusan daripada PAC ini sebenarnya kita telah memberikan semua kerjasama dalam mereka meminta kepada kita maklumat tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan kebimbangan PAC.

"Jadi, selebihnya kalau misalnya ada lagi yang diperlukan oleh PAC, kami bersedia untuk memberi segala maklumat yang diperlukan,"katanya.

Dr Zaliha diminta mengulas kenyataan PAC semalam, yang menjangkakan menerima maklum balas KKM berhubung syor tersebut dalam masa terdekat.

Beliau ditemui media selepas merasmikan Program Hari Integriti Hari Integriti KKM dan Lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) KKM Tahun 2023 di Putrajaya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya.

Dalam majlis sama, beliau turut memaklumkan kementeriannya dijangka menambah bilangan sasaran baik pulih klnik daif sebanyak 511 premis berbanding sasaran awal iaitu 436 sebelum akhir tahun ini, dengan jumlah peruntukan yang sama iaitu RM111 juta.

Ia, katanya hasil penjimatan dan tata kelola yang baik di KKM, pihaknya dapat menambah bilangan klnik daif yang perlu dibaik pulih tanpa menambah peruntukan sedia ada.

Sementara itu, jelas Dr Zaliha, KKM turut bersedia menambah bekalan kamera badan kepada petugas keselamatan dan anggota penguatkuasanya mengikut keperluan semasa.

Katanya, setakat ini, lebih 300 kamera badan telah dibekalkan sejak mula diperkenal pada Disember tahun lalu.

"Kemudahan kamera badan akan ditambah baik mengambil kira kepentingannya yang bukan sahaja membantu dari sudut integriti dan tata kelola, malah, menjaga keselamatan dan kesejahteraan anggota penguatkuasa KKM,"katanya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE