fb fb fb fb fb

Dua konvoi motosikal bertembung, pelakon terkenal cedera parah

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Mohd Naim Asnawi

TAPAH, 15 November- Empat buah motosikal yang menyertai dua konvoi motosikal berbeza bertembung dalam satu kemalangan jalan raya di Kilometer 349 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala utara berhampiran Sungkai, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Mohd Naim Asnawi berkata kemalangan berkenaan berlaku apabila satu konvoi motosikal yang disertai lima orang dalam perjalanan dari Sepang ke Gurun, Kedah bertembung dengan satu lagi konvoi motosikal disertai beberapa orang artis tempatan yang menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Harley Davidson dalam perjalanan dari Sungai Buloh ke Ipoh, Perak.

Jelasnya, akibat daripada kemalangan tersebut, empat buah motosikal iaitu dua buah motosikal jenis Yamaha X-Max dan dua buah motosikal berkuasa tinggi jenis Harley Davidson telah mengalami kerosakan.

Hasil pemeriksaan awal oleh pihak Hospital Tapah mendapati dua penunggang motosikal iaitu seorang lelaki yang menunggang motosikal Yamaha X-Max dan seorang lagi lelaki yang menunggang motosikal jenis Harley Davidson mengalami kecederaan parah.

Dua lagi penunggang motosikal jenis berkuasa tinggi dan biasa hanya mengalami kecederaan ringan.

Tambahnya, kemalangan tersebut dipercayai berpunca daripada cuaca hujan yang menyebabkan keadaan permukaan jalan raya yang licin.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM