fb fb fb fb fb

Sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi di Perak tumpas

Nilai rampasan dianggarkan bernilai lebih RM200,000

IPOH, 15 November - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Cawangan Manjung berjaya menumpaskan satu sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi di sebuah stor haram yang tersembunyi di Pantai Remis.

Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail dalam kenyataan memaklumkan kejayaan tersebut hasil daripada risikan yang dibuat selama dua minggu ke atas sebuah lori tangki yang telah diubahsuai dan disyaki membuat pembelian minyak diesel bersubsidi di stesen minyak sekitar Pantai Remis, Beruas dan Taiping.

"Hasil penjejakan lori tersebut pasukan risikan berjaya menemui sebuah stor haram bagi aktiviti pemindahan minyak diesel bersubsidi kepada pembeli lain.

"Ketika serbuan dilakukan pekerja di stor haram itu sedang memindahkan cecair yang disyaki minyak diesel ke dalam dua buah lori tangki yang turut dipercayai akan dihantar kepada pembeli dengan harga yang lebih murah daripada harga pasaran," menurutnya.

Tambahnya, hasil pemeriksaan lanjut yang dilakukan ke atas dua orang pekerja lelaki warga tempatan yang masing-masing berusia 48 dan 58 tahun itu gagal mengemukakan sebarang lesen CSA atau permit pengendalian barang kawalan apabila diminta. 

Dianggarkan 5,000 liter cecair yang disyaki minyak diesel, sebuah lori tangki, peralatan mengepam dan beberapa dokumen telah disita serta kedua-dua pekerja telah ditahan untuk siasatan lanjut. 

Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai lebih RM200,000.

Kes disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

TETITIA YUSOFF