fb fb fb fb fb

KEDA sasar tiga hingga lima tahun perkenal produk keluaran usahawannya

Pengurus Besar KEDA Ismasuhaimi Shariff

ALOR SETAR, 15 November - Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) menyasarkan tempoh antara tiga hingga lima tahun untuk memperkenalkan dan membawa produk keluaran usahawan KEDA ke peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun, ketika ini KEDA memberi fokus untuk memasarkan produk-produk usahawan bawahnya dalam rantau Asia Tenggara yang melibatkan negara Indonesia, Malaysia dan Thailand.

Pengurus Besar KEDA Ismasuhaimi Shariff berkata hingga kini terdapat lebih 300 usahawan KEDA yang aktif yang mengusahakan pelbagai jenis produk.

Antaranya melibatkan kluster makanan dan minuman serta kluster kesejahteraan dan gaya hidup.
 
"Kita akan cuba memasarkan berasaskan kepada makanan-makanan yang menjadi satu tanda dagangan kepada negeri Kedah, kita akan bawa itu dan sekarang ini kita lihat masalah keterjaminan makanan mungkin kita akan hasilkan produk yang berasaskan makanan untuk kita bawa," kata Ismasuhaimi kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Prapelancaran Usahawan KEDA ke Karnival Usahawan Desa (KUD)@Putrajaya 2023 di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, di Jalan Langgar, di sini.

TETITIA YUSOFF