fb fb fb fb fb

Banjir di Kedah, tiga PPS dibuka di dua daerah

Foto Hiasan

ALOR SETAR, 15 November- Seramai 168 penduduk daripada 55 keluarga terjejas akibat banjir di Kedah, masih ditempatkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di dua daerah.

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata dua PPS dibuka di daerah Kota Setar iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Merah.

Di daerah Kubang Pasu pula, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Malau dibuka bagi menempatkan 31 penduduk daripada tujuh keluarga namun paras air banjir di daerah itu mulai surut.

Sementara itu, keadaan banjir di enam buah kampung yang terjejas di daerah Kota Setar, tidak berubah dan jumlah penduduk terjejas dilapor meningkat.

Di PPS SK Titi Gajah, statistik menunjukkan peningkatan daripada 18 ke 27 keluarga dengan 44 orang ke 69 orang mangsa dicatatkan, setakat tengah hari tadi.

PPS SMK Alor Merah yang dibuka sejak pukul 5.30 petang semalam kekal menempatkan sembilan keluarga membabitkan 32 mangsa.

Paras air sungai anak bukit kini berada pada paras bahaya dan penduduk yang tinggal berdekatan sungai diminta untuk berpindah segera.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM