fb fb fb fb fb

Bapa mengaku bersalah kemuka maklumat palsu daftar kad pengenalan anak

Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 36 (b) Akta Pendaftaran Kelahiran & Kematian 1957 (Akta 299)

JERANTUT, 15 November - Seorang peniaga lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Jerantut, hari ini atas kesalahan mengemukakan maklumat palsu ketika mendaftarkan kad pengenalan anaknya di Pejabat Pendaftaran Negara (JPN) di Temerloh tahun lepas.

Tertuduh, Khairul Anuar Zaini, 42, membuat pengakuan bersalah berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret.

Majistret Mahkamah Jerantut, Mohamed Shah Reza Noor Azman menjatuhi hukuman denda sebanyak RM1,800 dan sekiranya gagal menjelaskan bayaran denda berkenaan boleh dipenjara 12 bulan.

Tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 36 (b) Akta Pendaftaran Kelahiran & Kematian 1957 (Akta 299).

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah dengan sengaja mengemukakan maklumat palsu sewaktu mendaftarkan kelahiran bayi lelaki yang dilahirkan yang kini sudah berusia 12 tahun.

Kes tertuduh berjaya dikesan oleh pegawai JPN Temerloh apabila datang untuk membuat kad pengenalan anaknya pada 2022 ketika anak pertamanya berusia 12 tahun dengan difahamkan tertuduh bernikah melalui satu sendiket di Pulau Pinang pada tahun 2009.

Hingga kini sudah memperoleh lapan orang anak.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Mat Razali Shamsuddin manakala tertuduh diwakili peguam bela, Ng See Teong.
 
Tertuduh telah membuat pengakuan di hadapan majistret telah menyesal atas kesilapannya yang lalu serta insaf tidak akan mengulangi lagi pada masa akan datang.

Jabatan Pendaftaran Negara akan terus membuat siasatan terhadap anak tertuduh yang lain apabila tiba usia 12 tahun untuk membuat kad pengenalan pada masa akan datang.

TETITIA YUSOFF