KUCHING, 1 Februari- Yayasan Sime Darby (YSD) bersama Pertubuhan Pembangunan Insan Sarawak (PPIS) melancarkan Rumah Singgah pertama di Sarawak, Dawn Hope, untuk remaja yang memerlukan.
Inisiatif yang diterajui oleh YSD bersama PPIS itu dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) selama sembilan bulan.
Program tersebut menyediakan tempat perlindungan dan pemulihan yang selamat bagi ibu muda daripada golongan rentan serta bayi mereka, selain menawarkan sokongan penting seperti penjagaan kesihatan, kaunseling, dan latihan kemahiran untuk membantu mereka membina semula kehidupan.
Bercakap kepada media selepas majlis pelancaran, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, memaklumkan langkah tersebut menandakan kemajuan penting dalam usaha membantu remaja yang memerlukan, terutama dalam kalangan komuniti luar bandar dan terpinggir di Malaysia.
"Jadi, jumlah keseluruhan kes di Sarawak pada tahun 2023-2024 adalah sebanyak 841 kes. Ini menunjukkan keperluan untuk mempunyai sistem sokongan. Tiga bahagian dengan jumlah kes tertinggi ialah Miri (204 kes), Bintulu (195 kes) dan Kuching (133 kes). Namun, ini hanyalah kes yang diketahui, dan mungkin terdapat kes yang tidak dilaporkan," jelas Nancy.
Pada majlis tersebut, beliau turut menerima cek bernilai RM1.2 juta daripada Pengerusi Yayasan Sime Darby, Tunku Tan Sri Imran Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar, bagi tujuan pengoperasian Rumah Singgah di Kuching.
Sementara itu, Tunku Tan Sri Imran memaklumkan, pelancaran Dawn Hope mencerminkan komitmen bersama untuk membantu remaja yang terlibat dalam kehamilan bawah umur.
Pada masa yang sama, ia juga bertujuan menangani isu sosial seperti pencegahan kehamilan bawah umur dan pembuangan bayi dengan menyediakan ruang yang selamat, peluang pendidikan dan program kesedaran.
Melalui inisiatif tersebut katanya, setiap penghuni akan menerima sokongan yang diperlukan untuk kembali ke pangkuan masyarakat, termasuk penjagaan kesihatan, sokongan kesihatan mental, kaunseling, bantuan pendidikan, dan latihan vokasional.
Presiden PPIS, Manjeet Kaur Sidhu yang juga penerima Tokoh Wanita Sarawak 2023 dan Anugerah Kasih Wanita 2024 akan mengetuai peranan kritikal Dawn Hope dalam menangani isu kehamilan remaja di Sarawak.