fb fb fb fb fb

Madu kelulut komoditi berpotensi tinggi, mampu berkembang

Dr Zaliha Mustafa

PUTRAJAYA, 1 Februari- Madu kelulut kini semakin mendapat perhatian sebagai komoditi baharu berpotensi tinggi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata berdasarkan data Jabatan Pertanian, pengeluaran madu kelulut di Malaysia mencecah 145,856 kilogram dengan nilai melebihi RM21 juta (data 2020), yang menunjukkan ia satu industri yang mampu berkembang jika diuruskan dengan baik dan strategik.

"Saya ucapkan tahniah kepada Perbadanan Putrajaya (PPj) kerana menyahut arahan saya tahun lepas berkenaan produk hiliran, dengan memperkenalkan produk madu kelulut yang dinamakan sebagai 'Maduku Putrajaya'.

"Selepas ini, PPj boleh meneroka peluang untuk mendapatkan pensijilan halal dan organik bagi produk ‘Maduku Putrajaya’ ini, supaya dapat menembusi pasaran antarabangsa pula seperti di Eropah, Timur Tengah dan Asia Tenggara," katanya ketika merasmikan Hari Terbuka Pertanian Bandar dan Kelulut Putrajaya (HTPBKP) di sini hari ini.

Mengenai pembangunan 10 kebun komuniti di Putrajaya, Zaliha berkata pada tahun lepas ia membawa hasil hampir RM100,000 jualan dengan keuntungannya telah diagihkan kepada komuniti yang terlibat.

Beliau berkata potensi daripada kebun komuniti perlu dimanfaatkan dengan kerjasama antara pengusaha kebun komuniti, institusi penyelidikan dan juga keterlibatan pihak swasta.

"Saya sebenarnya mahu melihat lebih banyak usaha dalam membangunkan produk hiliran yang boleh dipasarkan secara lebih luas dan dijadikan antara punca pendapatan.

"Tidak semestinya perlu pihak berkuasa tempatan yang mengusahakan, tetapi dalam kalangan komuniti sendiri yang melaksanakannya. Di peringkat PBT seperti PPj atau Jabatan Wilayah Persekutuan, kita boleh menyediakan pementoran daripada mereka yang telah berjaya," katanya.

HTPBKP anjuran PPj berlangsung selama dua hari sehingga esok, dengan menyasarkan 1,000 pengunjung sehari.

Ia antara lain bertujuan memberikan peluang kepada komuniti yang tinggal di bandar untuk mempelajari teknik pertanian moden bagi kelangsungan hidup dan menjaga kelestarian alam sekitar dengan menggalakkan amalan mesra alam seperti penanaman tanaman organik.

HTPBKP turut memperkenalkan Laman Dapur dan Laman Kelulut yang terletak di Taman Botani Putrajaya sebagai hab pengembangan pembangunan pertanian bandar dan penternakan kelulut di Putrajaya.- BERNAMA

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI