fb fb fb fb fb

YDPA zahir penghargaan kepada UAE atas sumbangan satu juta dos vaksin COVID-19 kepada Malaysia

FB ISTANA NEGARA

KUALA LUMPUR, 27 Januari - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di atas sumbangan satu juta dos vaksin COVID-19 kepada Malaysia.

Menerusi catatan di Facebook Istana Negara, Baginda turut menzahirkan penghargaan tinggi kepada Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed bin Zayed Al-Nahyan atas sumbangan itu.

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin atas pelaksanaan kerjasama antara kerajaan Malaysia dan UAE dalam menjayakan sumbangan bekalan vaksin tersebut.

Sumbangan itu jelas membuktikan persahabatan akrab dan hubungan dua hala yang kukuh antara kedua-dua negara.

"Semoga sumbangan ini akan membantu kerajaan menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dalam memerangi dan membendung penularan virus tersebut," titah Baginda dalam ciapan di akaun Facebook Istana Negara.

"Baginda menyeru rakyat untuk bersama-sama mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi daripada sebarang musibah dan penularan COVID-19 dapat dibendung dan diakhiri dengan berkesan serta segera," kata kenyataan itu.

Sebanyak 500,000 dos sumbangan UAE selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur(KLIA) pada Selasa.

Bekalan kumpulan kedua 500,000 lagi dos vaksin dijadualkan tiba dalam masa dua minggu lagi.

 

Media Baharu