fb fb fb fb fb

Pemberian wang pampasan untuk jemaah umrah yang terjejas akibat penangguhan akan diumumkan dalam tempoh terdekat - JPM

PUTRAJAYA, 27 Januari - Kerajaan akan menyalurkan sejumlah pampasan kepada jemaah umrah yang terkesan akibat penangguhan ibadah tersebut selama sebulan sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad dalam hantaran di media sosialnya menyatakan jumlah pampasan dan tempoh penyerahan akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

"Setakat hari ini, kita telah melihat supaya senarai-senarai nama itu akan diperoleh daripada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) untuk melihat senarai-senarai nama mereka yang terlibat dan wang pampasan ini akan kita masukkan ke pejabat Tabung Haji," kata Idris Ahmad kepada RTM.

"Semua yang terlibat boleh ambil wang tersebut di pejabat Tabung Haji yang berdekatan. Insya-Allah kita akan umum dalam tempoh terdekat tentang kemasukan wang itu ke Tabung Haji," tambahnya.

Jelas beliau, meskipun pampasan ini tidak merangkumi jumlah keseluruhan kos kerugian namun ia diharap dapat meringankan beban mereka yang terjejas.

Dalam masa sama, Idris berharap dalam fasa kebenaran semula ibadah umrah ini tiada lagi kes penipuan sijil vaksinasi akan berlaku.

Beliau turut mengingatkan agensi-agensi pengendali umrah agar mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi dengan sewajarnya.

 

Media Baharu