(Titah baginda, Malaysia dan Singapura perlu terus bekerjasama rapat dalam mempromosikan
kestabilan, keselamatan dan menjadikan ASEAN sebagai kumpulan serantau yang dinamik)
KUALA LUMPUR, 21 Mac- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berharap Malaysia dan Singapura dapat meningkatkan kerjasama dalam bidang-bidang baharu dan pesat seperti ekonomi digital, keterjaminan makanan dan ekonomi hijau.
Titah baginda, sebagai antara negara pengasas ASEAN, Malaysia dan Singapura perlu terus bekerjasama rapat dalam mempromosikan kestabilan, keselamatan dan menjadikan ASEAN sebagai kumpulan serantau yang dinamik.
"Saya amat percaya, ikatan persahabatan kukuh dalam kalangan rakyat kita akan terus menjadi faktor penting yang membentuk teras hubungan kedua-dua negara.
"Pertukaran lawatan peringkat tertinggi dalam kalangan pemimpin dan pegawai antara dua negara akan membina persefahaman dan kepercayaan bersama.
"Sepanjang sejarah kerjasama ekonomi, Singapura secara konsisten kekal sebagai salah satu rakan dagangan utama, dengan Singapura menjadi rakan dagangan kedua terbesar Malaysia dan juga sebaliknya Malaysia juga menjadi rakan dagang kedua terbesar Singapura.
Baginda bertitah di Majlis Santapan Negara bersempena lawatan negara Presiden Singapura Halimah Yacob ke Malaysia di Istana Negara.
Lawatan negara ini bukti hubungan kukuh, persaudaraan erat pemimpin dan rakyat kedua-dua negara.
(Pertingkat kerjasama Malaysia-Singapura kolaborasi pelbagai bidang baharu/Foto BERNAMA)