fb fb fb fb fb

YDP Agong nasihat rakyat sentiasa amal gaya hidup sihat

KUALA LUMPUR, 28 Julai - Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah, menasihati rakyat agar sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat, mengawal pemakanan harian serta mengelakkan produk-produk yang boleh memudaratkan buah pinggang.

Di atas keprihatinan tinggi terhadap pesakit buah pinggang kronik terutama dari masyarakat B40 dan M40 telah mendorong baginda menubuhkan pusat hemodialisis bagi membantu meringankan bebanan kewangan golongan berkenaan.

Al-Sultan Abdullah mendoakan agar pesakit yang sedang menjalani rawatan hemodialisis diberikan kekuatan dan kesabaran kerana ia bukan kehidupan yang mudah.


(Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merasmikan 
Pusat Hemodialisis Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) Taman Melati)

Baginda turut menyeru lebih ramai individu dan pihak swasta untuk tampil membantu lebih lagi ketika rakyat masih lagi terkesan impak pandemik COVID-19.

Dalam pada itu, baginda berkenan berangkat merasmikan Pusat Hemodialisis Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) Taman Melati di Masjid Salahuddin Al-Ayyubi di ibu negara.

Turut berangkat Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Keberangkatan tiba Baginda disambut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Ahmad dan Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar.

Al-Sultan Abdullah berkenan meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra dengan 12 pesakit yang sedang menjalani rawatan hemodialisis di pusat tersebut.

Majlis perasmiani ini juga bersempena dengan ulang tahun hari keputeraan Seri Paduka Baginda yang ke-63 pada Sabtu ini.

Pusat Hemodialisis YASA Taman Melati merupakan pusat hemodialisis keempat yang ditubuhkan oleh YASA dan pusat hemodialisis YASA yang pertama ditempatkan di perkarangan sebuah masjid.

Selain itu, YASA juga sedang merancang untuk membuka sebuah lagi pusat hemodialisis di negeri Pahang pada awal tahun depan, menjadikan jumlah keseluruhan kepada lima pusat hemodialisis di Pahang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Media Baharu