fb fb fb fb fb

Langkah mewajibkan papar harga ubat di fasiliti swasta, perkasa hak pengguna

Foto fail

KUALA LUMPUR, 8 Ogos -Usaha kerajaan mewajibkan semua fasiliti kesihatan swasta, termasuk klinik dan farmasi, memaparkan harga ubat serta menyediakan preskripsi dan bil terperinci kepada pesakit mulai 1 Ogos lalu, disifatkan sebagai langkah tepat dalam usaha memperkasa hak pengguna.

Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA) Profesor Dr Ahmad Hariza Hashim berkata, ketelusan harga adalah prinsip asas perlindungan pengguna serta dasar itu dijangka dapat menstabilkan harga ubat di pasaran kerana pengguna akan cenderung memilih fasiliti yang menawarkan nilai terbaik.

"Apabila harga ubat dipaparkan secara jelas, pengguna dapat membuat perbandingan dan memilih pilihan rawatan atau pembelian ubat yang sesuai dengan kemampuan mereka. Ini bukan sahaja melindungi hak pengguna, tetapi juga mendorong persaingan sihat di kalangan penyedia perkhidmatan kesihatan," katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau menambah bahawa paparan harga dan preskripsi terperinci membolehkan pengguna mendapatkan ubat daripada sumber alternatif yang sah pada harga lebih berpatutan tanpa menjejaskan kualiti rawatan.

"Hak untuk mengetahui harga ubat dilihat sebagai sebahagian daripada hak asasi pengguna yang membolehkan rakyat merancang kewangan kesihatan dengan lebih baik serta mengelakkan hutang perubatan," katanya.

Dalam pada itu, Exco MACFEA Profesor Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali menyifatkan langkah itu sebagai reformasi kesihatan progresif yang wajar dipuji.

"Perlu disertai pemantauan rapi bagi memastikan matlamat meningkatkan kuasa tawar-menawar pengguna benar-benar tercapai," kata Profesor Dr Nuradli.

Peraturan tersebut dilaksanakan bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Ubat) 2025 (P.U. (A) 141/2025) mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang mula dikuatkuasakan pada 1 Mei lalu.

TETITIA YUSOFF