KOTA TINGGI, 10 November - Keakraban Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, semasa lawatan ke Bahrain, baru-baru ini, dijangka membawa manfaat besar serta mengukuhkan sokongan antarabangsa terhadap Malaysia.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menegaskan lawatan itu penting bagi mempererat hubungan luar negara, selari dengan pendirian berkecuali negara, dalam isu global.
Kejayaan pertemuan terserlah melalui kepercayaan dizahirkan Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al Khalifa, terhadap visi Malaysia dan kepimpinan Baginda.
"Kadang-kadang banyak negara tidak senang dengan pendirian dan juga kenyataan-kenyataan yang kita buat.
"Oleh itu wajar, penting untuk kita juga mempunyai negara-negara yang rapat dengan kita, akrab dengan kita, faham kita dan akan terus-menerus memberi sokongan kepada kita. Jadi yang Yang di-Pertuan Agong memainkan peranan untuk menjalinkan hubungan yang akrab dan rapat sebegitu," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Projek Sekolah Angkat MADANI 2025, di Sekolah Kebangsaan Felda Lok Heng, di sini.
Lawatan Negara ke Bahrain pada 6 November lalu, turut meninjau peluang kerjasama ekonomi dalam sektor minyak, gas, aluminium, perkhidmatan profesional dan kewangan.